Saturday, January 14, 2012

Honda Tadakatsu - Hebat Dan Terbilang.


" Tiada apa pun yang hebat dengan si Tokugawa Ilyasu itu selain daripada mempunyai kobuto (topi perang) yang menarik dan si hulubalang Tadakatsu yang hebat ! "  


- Takeda Shingen, samurai terkemuka Kai 
Ramai yang meminati kisah-kisah samurai terutama sekali cerita mistik dan lagenda mainan pedang serta kemahiran tempur mereka yang maha hebat. Nama-nama samurai tersohor seperti Takeda Shingen,Oda Nobunaga,Toyotomi Hideyoshi, Obu Toramasa,Yamagata Masakage dan Yamamoto Kansuke adalah ikon dan idola di Jepun dan masing-masing mempunyai lagenda dan mitos tersendiri. Namun, ramai antara kita yang terlupa kepada kisah hulubalang Honda Tadakatsu.
Honda Tadakatsu ataupun Honda Heihanchiro (1548-1610) adalah panglima perang pakatan Tokugawa Ilyasu sewaktu zaman medieval Jepun. Kehebatan Honda Tadakatsu memang tiada tolok bandingnya dan beliau adalah salah seorang dari empat panglima perang Shogun Tokugawa yang paling handal selain dari Ii Naomasa, Sakakibara Yasumasa dan Sakai  Tadatsugu. 
Dilahirkan di wilayah Mikawa (sekarang sebahagian daripada wilayah Aichi), beliau pernah terlibat di dalam beberapa perang saudara seperti pertempuran Anegawa, Nagashino, Mikatagahara dan lebih kurang 57 pertempuran besar yang lain.Sejarah juga telah menobatkan Honda Tadakatsu sebagai samurai yang tidak pernah kalah ataupun mengalami sebarang kecederaan sewaktu bertarung di medan peperangan sehinggakan beliau diberi gelaran "pahlawan hebat yang tidak mungkin boleh mati" oleh kesemua musuh beliau. 
Buku-buku lama sejarah Jepun juga pernah menceritakan tentang kehebatan Honda Tadakatsu yang pernah berperang habis-habisan menentang tentera Toyotomi Hideyoshi walaupun ratio tentera beliau hanya 1 berbanding 60 tentera Toyotomi.

Selain itu, lagenda juga pernah menyebut tentang keunikkan tombak milik Honda Tadakatsu yang digelar Tonbo Giri (Tonbo - Pepatung dan Giri - Potong). Tombo Giri hebat ini adalah hasil kerja tangan tukang besi Masazane Fujiwara dikatakan cukup tajam sehinggakan pepatung pernah terbelah dua setelah hinggap di hujung mata tombak tersebut. Tombak Tombo Giri ini juga adalah salah satu daripada 3 tombak pusaka Jepun yang menjadi khazanah negara yang tidak ternilai.(Dua yang lain adalah Nihongo yang kini disimpan di Muzium Fukuoka dan Otegine).

 Otegine yang masih disimpan.

Antara keunikkan Honda Tadakatsu yang lain termasuklah kobuto (topi perang) yang dihiasi tanduk rusa. Kononnya, satu ketika sewaktu beliau hampir lemas di sungai, beliau terpandang seekor rusa yang berjaya berenang merentasi sungai tanpa sebarang masalah. Honda Tadakatsu yang pada ketika itu sedang berpaut pada dahan pokok di tengah sungai kemudiannya meniru gaya renangan rusa tersebut dan akhirnya berjaya menyelamatkan diri. Semenjak daripada peristiwa tersebut,beliau mengabadikan tanduk rusa pada kobuto beliau sebagai tanda terima kasih dan terhutang budi kepada haiwan tersebut. 

Replika yoroi dan kobuto milik Honda Tadakatsu


Namun, ahli pengkaji sejarah percaya yang Honda Tadakatsu memilih tanduk rusa sebagai simbol kobuto adalah lebih kepada ego samurai tersebut dan juga tanda amaran tentang kehadiran beliau kepada musuh-musuh yang lain. 



Interested parties are welcomed to reproduce or quote materials published in this blog with the condition  that they are credited to http://hasnulyakin.blogspot.com/ to avoid misunderstanding.Thank you

** Images : Credit to Google.