Cerita Hantu Tanglong Dan Rokurokubi !

Wak telah pergi meninggalkan saya hampir 26 tahun yang lalu. Sehingga hari ini, saya masih terkenangkan Wak yang selalu duduk bersila di serambi rumah sambil menghisap curut cap teko kegemaran beliau. Ingatan saya juga masih segar terkenangkan gaya hembusan asap curut arwah yang kadang-kala membuatkan saya dan adik mabuk serta muntah-muntah.Namun begitu,  kami bertahan juga kerana ingin mendengar cerita-cerita menarik yang Wak selalu ceritakan sebelum kami semua masuk tidur.

Hantu Tanglong atau Penanggal ? 
 (Sekadar hiasan) 

Saya masih ingat tentang cerita Wak yang pernah terserempak dengan hantu tanglong (penanggal) ketika arwah sibuk menahan “taut” untuk menjerat ikan haruan yang begitu banyak di petak-petak sawah puluhan tahun yang lalu.Mengikut cerita Wak, hantu penanggal jarang mengganggu manusia, selalunya ia akan keluar mencari katak sebagai makanan dan kepalanya akan terpisah dari badan lalu keluar merayau-rayau. Kata Wak lagi, ada juga cerita yang menyebut tentang hantu penanggal yang suka melawat rumah wanita yang baru lepas bersalin kononnya untuk menghisap darah. Oleh kerana percaya bulat-bulat akan cerita tersebut, maka habislah anak-anak ikan puyu didalam paya ditangkap untuk dibela dan pepohon mengkuang ditebang untuk diletakkan ditepi tingkap kerana mereka percaya ianya adalah pendinding yang mujarab untuk menghalang kehadiran hantu penanggal ke rumah mereka. 


Saya tidak pasti sama ada cerita arwah itu benar atau rekaan. Apa yamg pasti, gaya dan cara penyampaian beliau cukup menarik dan adakalanya memang menakutkan. Kadang-kadang tidur saya selalu didatangi mimpi-mimpi ngeri dek kerana terbawa-bawa dengan cerita-cerita Wak. Kini setelah 26 tahun masa berlalu, barulah saya sedar yang cerita-cerita tersebut ada kebenarannya.
 
*****
 
Sewaktu saya berada di Kyoto tempoh hari, saya mendapat tahu akan cerita hantu tanglong di Jepun yang dipanggil Rokurokubi. Mengikut lagenda, Rokurokubi ini sebenarnya adalah wanita yang disumpah kerana melanggari peraturan-peraturan agama (Buddha).  Oleh kerana saktinya akan sumpahan tersebut maka mereka yang disumpah dikatakan mempunyai kuasa berubah menjadi makhluk yang dapat memanjangkan leher pada waktu malam untuk mencari korban. Tetapi apa yang pelik, hampir kesemua mangsa- mangsa yang diburu Rokurokubi ini hanyalah terdiri dari golongan orang-orang yang mabuk, buta ataupun yang kurang upaya. Dikatakan Rokurokubi sengaja memilih mangsa  sedemikian bertujuan untuk menyembunyikan rupa sebenar mereka kepada umum.

Rokurokubi dalam filem "Yokai hyaku monogatari"

Jadi betullah cerita Wak tentang lagenda makhluk jelmaan syaitan ini. Terbukti sudahlah yang segala cerita beliau bukanlah rekaan bertujuan untuk menakutkan cucunya sendiri supaya tidur awal agar beliau boleh menonton gusti! Buktinya, cerita tentang hantu penanggal ini bukan sahaja wujud di Malaysia malah di Jepun dan juga di Filipina (Menangnangal). Kalau benarlah iblis dan syaitan itu wujud, kita sebagai manusia ada caranya. Bacalah  ayat-ayat suci al-quran dan berilah selawat. Datanglah walau jembalang pohon ketapang sekalipun -Insya allah, kalau doa kita dimakbulkan, lesaplah mereka ! 

Yang pasti tiada hantu, penunggu atau jembalang yang lebih berkuasa selain Allah swt jua !

Rokurokubi dan Inugami dari  Bakemono Zukushi @ Gambar hiasan.


** Wak - Panggilan kami sekeluarga kepada arwah datuk tersayang.