Cuit-Cuit Si Sisik Perak: Teknik Memburu Ikan Gerut-Gerut.



Ada dua perkara pelik berlaku pada malam itu. Pertama - kesemua umpan yang saya hulurkan di lubuk kerapu langsung tidak disambar kerapu dan keduanya, kalau ada pun henjutan kasar pada batang rod, ianya langsung tidak mengena ikan. Lebih 2 jam kejadian sama berlaku - batang-batang rod kelihatan melendut-lendut tetapi apabila direntap, yang tinggal hanya mata kail yang kehabisan umpan. Habis umpan-umpan udang saya dicuit keluar.


Lubuk pancing yang telah saya selongkar selama lebih 14 tahun ini memang kaya dengan pelbagai spesis ikan. Ada ikan gemang (sembilang bersaiz kasar), pari, kuku, gerepoh dan juga siakap merah bersaiz mega. Namun begitu, majoriti segala tangkapan saya selama ini adalah ikan kerapu - baik yang kecil hinggalah bersaiz 2-3 kilo! Percaya atau tidak, saya tidak pernah pulang dengan tangan kosong semenjak memancing disini. Andai kata ada rezeki,berbelas-belas ekor ikan kerapu dapat saya bawa pulang pada setiap kali trip memancing.


Dek kerana kejadian tersebut, pelbagai suspect bermain di fikiran saya. Mungkinkah ia kerja anak-anak gerepoh yang cukup terkenal dan hebat setiap kali mencuri umpan atau mungkin juga ianya cuti-cuit si sisik perak, si ikan gerut ? Saya akhirnya mengambil keputusan untuk menukar kesemua mata kail pancingan pada malam tersebut lalu digantikan dengan apollo yang bersaiz 8. Tidak cukup dengan itu, saya selitkan bersama umpan udang yang dikupas kulitnya kepada semua mata kail apollo tersebut lalu dihumban semula kedalam laut.


Sepuluh minit berlalu dan suasana cukup sunyi dan sepi. Tiada langsung sebarang getuan ikan dirasakan selepas umpan dan mata kail ditukar sebentar tadi. Keaadan laut semakin keruh dan bulan yang tergantung pada langit malam semakin condong menandakan air sudah bertukar surut. Tiba-tiba, kesemua rod-rod saya melengkung ditarik sesuatu. Selepas bertungkus lumus dan ditarik naik , jelas sekali saya dapat melihat kilauan perak sisik-sisik ikan tersebut didalam air. Bukan seekor tetapi 3-4 ekor ikan yang tersangkut. Memang benar jangkaan saya. Rupa-rupanya, memang kerja si gerut-gerut ! Banyak juga yang saya naikkan pada malam tersebut.


 Pada malam itu juga saya berjaya menjinakkan seekor ikan kaci yang selalunya banyak terdapat di sebelah pantai timur tanah air. Entah macam mana ianya tersesat jauh hingga ke Pulau Langkawi, wallahualam.






Kepada anda yang akan datang ke Pulau Langkawi dan teringin untuk memburu ikan gerut-gerut, berikut adalah cara-cara yang boleh diguna pakai;

1. Saya akui ikan gerut-gerut sangat bijak mencuri umpan. Jika mata kail dan umpan yang disediakan terlalu besar, maka anda akan menggigit jari sepanjang malam!

2. Sebaik-baiknya mata kail yang digunakan janganlah terlalu besar. Begitu juga dengan tali perambut. Tali berkekuatan 10-15 paun sudah cukup kuat untuk menjerat ikan gerut-gerut ini.

3. Sesetengah pengail menggunakan manik-manik berkilau sebagai teknik "memikat" spesis ini. Saya agak bersetuju dengan cara ini tetapi ianya hanya sesuai diguna pakai sekiranya pancingan dilakukan pada waktu malam dimana "luminous beads" tersebut akan kelihatan bercahaya seperti pantulan daripada seekor sotong.

4. Teori memancing ikan gerut-gerut sewaktu air pasang sudah juga tidak boleh diguna pakai. Mengikut pengalaman saya, ikan gerut-gerut banyak membedal umpan dikala air mula bergerak surut. Malah frenzy tersebut akan menjadi lebih hebat lagi sekiranya air lautan bersih dan tidak berkelodak.

5. Umpan udang (yang dikupas kulit) adalah umpan terbaik untuk menjerat ikan gerut-gerut. Unless anda menggunakan umpan udang hidup, janganlah pula dikupas kulitnya.Saya juga mendapati yang sotong cumit hidup juga merupakan menu kegemaran spesis ini. Percaya atau tidak, saya pernah mendapat ikan gerut-gerut bersaiz mega (5.5 kilogram!!) sewaktu memancing di lubuk kapal karam, Pulau Langkawi beberapa tahun yang lalu.

6. 80% daripada hasil pancingan ikan gerut-gerut saya selalunya diperolehi ketika memancing berhampiran tiang-tiang kelong ataupun chalet-chalet atas laut. Saya jarang mendapat spesis ini dilaut terbuka kecualilah juka terdapat kawasan karang ataupun tukun dibawahnya.

7. Above all, penggunaan sabiki ataupun apollo bersaiz 8 adalah yang terbaik dan saya belum pernah gagal dengan teknik ini.



Apa-apa pun, rezeki datang dari Allah s.w.t,  kita hanya perlu berusaha yang terbaik.
Insya Allah !




All images copyright © 2014 Langkawi Ink.Com.
All rights reserved. All photos and content on this site are exclusive property of Langkawi Ink.Com and are copyright with all rights reserved. Please email me and ask for permission before reposting any content found on this site.Thank you.