Wednesday, April 1, 2015

Cerita Malam Kemarau Di Kyoto & Wanita Misteri Di Luar Kedai........


Anda kini berada di halaman blog saya dan jangan takut kerana tiada sebarang caj GST dikenakan walaupun rakyat Malaysia seharian sibuk menyumpah tentang angka 6% tersebut.


Malam ini saya hendak bercerita tentang hantu dan kasih sayang ibu yang tidak pernah putus walaupun si ibu sudah mati. Kononnya kisah pelik ini terjadi di Kyoto pada satu malam musim panas ratusan tahun yang lalu (1599 kalau tidak silap saya). Diceritakan tentang Sobei - seorang pemilik kedai manisan di Kyoto yang baru saja menutup kedainya lalu bersedia untuk masuk tidur. Seketika sebelum sempat beliau melelapkan mata, dia terdengar ada orang datang sambil mengetuk-mengetuk pintu kedainya.
Sobei kemudiannya bangun menyalakan lilin lalu keluar sambil bertanya - “Siapa?”.
Dari luar Sobei mendengar ada yang menjawab pertanyannya.
“Minta maaf mengganggu lewat-lewat malam begini, tetapi saya hendak meminta sedikit pertolongan. Bolehkah tuan memberikan saya sedikit manisan? Anak saya sedang kelaparan" kata suara wanita bernada halus tersebut.
Pada malam esoknya, wanita tersebut datang lagi dengan alasan yang sama. Selama 6 malam berturut-turut wanita tersebut datang meminta bantuan walaupun pada malam dimana hujan turun dengan amat lebat. Kasihan benar Sobei melihat wanita itu yang berdiri di luar kedai dan basah kuyup merayu-rayu meminta bantuan.Tanpa berfikir panjang, Sobei hanya menuruti saja akan kemahuan wanita tersebut. Oleh kerana berasa kasihan, Sobei membuka pintu lalu memberikan beberapa bungkus manisan yang dibungkus dengan daun buluh kepada wanita tersebut. Wanitu itu kemudiannya mengucapkan terima kasih lalu hilang dalam kepekatan malam



Apabila wanita tersebut datang semula pada malam yang ketujuh, hati Sobei mula berasa was-was. Beliau bercadang untuk menyiasat tentang wanita misteri itu.Sobei ingin tahu di mana rumah wanita tersebut dan ke mana dibawa pergi segala manisan yang beliau selalu berikan. Selepas menyedari yang wanita tersebut sudah beredar selepas menerima manisan, Sobei perlahan-lahan berjalan keluar dari kedainya lalu menyusuri denai berkabus yang dilalui oleh wanita tadi. Semakin lama Sobei mengikuti, semakin cepat dan jauh perempuan tersebut berjalan. Malam semakin larut dan suasana sekeliling pada malam itu amat gelita gelita. Sobei mula berasa kesejukan dihembusi angin dingin pada malam tersebut. 

Hatinya tertanya-tanya kemana wanita tersebut hendak pergi?

Setelah lama berjalan akhirnya Sobei menyedari yang beliau kini berada ditengah-tengah kawasan perkuburan dikaki hutan. Akibat ketakutan, Sobei mula menjadi panik lalu berlari mencari jalan pulang.

Pada esok paginya, Sobei pergi ke sebuah kuil lalu menceritakan tentang kejadian pelik yang dialaminya selama tujuh malam tersebut. Pendita buddha yang mendengar cerita Sobei berasa pelik lalu mengajak Sobei ke kawasan tanah perkuburan yang diceritakan. Apabila sampai disitu, si pendita terdiam sebentar lalu memberitahu Sobei yang disini terdapat satu kubur wanita mengandung yang baru meninggal dunia pada tujuh hari yang lalu. Mendengar penjelasan tersebut, si Sobei berasa cukup bersimpati lalu berdoa akan wanita tersebut tenang dialam kubur. Namun selepas seketika,tiba-tiba mereka berdua terdengar suara bayi menangis dibawah tanah. Si pendita dan Sobei mula tercari-cari dari mana suara bayi tersebut datang lalu mereka memunggah dan mengorek keluar tanah kubur wanita tersebut. Apabila keranda dibuka, alangkah terperanjatnya mereka berdua apabila mendapati wanita mengandung yang mati tersebut telah melahirkan seorang bayi bersamanya. Lebih memeranjatkan lagi apabila mereka menyedari yang bayi itu kelihatan sedang menghisap manisan yang Sobei pernah berikan kepada wanita yang selalu datang ke kedainya.

Akhirnya, fahamlah Sobei kenapa wanita tersebut selalu datang ke kedai meminta manisan. Wanita tersebut rupanya adalah jelmaan roh si ibu yang tidak tenteram kerana terlalu menyayangi anaknya.Oleh kerana beliau sudah mati dan tidak mampu lagi memberikan makanan, maka sebab itulah roh si ibu selalu melawat ke kedai Sobei meminta bantuan manisan untuk anaknya. Oleh kerana terlalu teruja dengan cerita kasih sayang ibu terhadap si anak, pendita buddha yang datang bersama Sobei akhirnya membawa pulang bayi tersebut lalu dijaga dan dibesarkan disebuah kuil di Kyoto.
Walaupun dikatakan yang cerita ini berlaku pada ratusan tahun yang lalu, kedai manisan Sobei ini masih wujud sehingga sekarang. Ianya terletak di pekan kecil Higashiyama di Kyoto. Anda boleh membeli dan merasai manisan yang pernah Sobei berikan kepada wanita tersebut hanya pada harga ¥500 ataupun RM15 sebungkus!




Nota kaki : Kedua-dua imej diatas diperolehi menerusi halaman Google.