Jiu Roku Zakura 十六桜 : Kasihnya Hingga Bercerai Nyawa Dengan Badan.

Saya pernah terbaca satu cerita pelik tentang sepohon pokok sakura tua yang terletak di Wakegori (Wilayah Ehime) yang diberi nama " Jiu Roku Zakura" ataupun "pohon sakura hari ke enam belas". Ada pun cerita rakyat ini cukup terkenal kerana ianya pernah ditulis oleh Lafcadio Hearn dalam buku klasik "Kwaidan" pada tahun 1904, namun cerita ini masih  popular sehingga ke hari ini. 
 
( Sepohon pokok sakura weeping willow berhampiran rumah saya di Uji-shi di Kyoto.Untuk makluman, majority pohon sakura hanya berbunga pada penghujung bulan March dan berakhir pada minggu pertama bulan April )
 

 Diceritakan tentang kisah seorang samurai mempunyai sepohon pokok sakura yang tumbuh mekar dihalaman rumahnya. Kononnya, pohon ini telah mekar semenjak zaman berzaman serta bergenerasi usianya. Mengikut cerita itu lagi, samurai tersebut selalu bermain dibawah pohon sakura ini semasa zaman kecilnya sambil berlari-lari, menulis syair dan memuji akan kecantikan pohon tersebut dikala musim bunga. Hari berganti hari,bulan berganti bulan,tahun berganti tahun dan samurai tersebut terus hidup lalu menjadi tua. Oleh kerana usianya yang terlalu tua, maka tiada siapa lagi yang tinggal bersamanya kerana kesemua anak-anak serta isterinya telah lama mati lalu tinggallah beliau bersama pohon sakura tersebut. Pada satu hari dalam musim panas sewaktu beliau keluar ke halaman rumah, beliau mendapati yang pohon tersebut telah layu dan hampir mati lalu timbulah perasaan sedih yang amat sangat dalam diri beliau.

Menyedari akan kesedihan beliau, pelbagai cara telah dilakukan oleh jiran-jiran untuk menghiburkan samurai tua tersebut termasuklah menanam semula anak-anak pohon sakura yang baru dengan harapan beliau akan kembali gembira.Walaupun beliau berterima kasih dan berpura-pura gembira atas segala usaha yang telah dilakukan, namun hatinya tetap sedih kerana beliau masih tidak dapat menerima kenyataan pohon sakura yang amat disayanginya itu akan mati.

Akhirnya datanglah kepadanya satu idea bagaimana untuk menghidupkan semula pohon sakura tersebut. Pada satu hari keenam belas bulan pertama (Januari?), beliau keluar semula kehalaman rumahnya lalu duduk bersujud menyembah kepada pohon sakura yang layu itu. Beliau merayu dan memohon agar pohon tersebut untuk mekar sekali lagi. Beliau juga bersumpah sanggup bertukar nyawa agar pohon tersebut hidup semula lalu beliau menawarkan nyawanya sebagai tukar ganti. Beliau kemudiannya menghamparkan kain putih lalu duduk diatasnya sambil menyempurnakan upacara "Seppuku" ataupun "harakiri" iaitu ritual bunuh diri bagi golongan samurai. Beberapa ketika selepas beliau membunuh diri, pohon sakura tersebut berkembang semula dan bunga-bunganya mula keluar melalui ranting walaupun hari tersebut adalah hari ke enam belas musim sejuk pada bulan yang pertama. Dipercayai roh samurai tersebut telah memasuki kedalam pohon sakura itu dan setiap tahun ia masih mekar pada hari ke enam belas bulan pertama walaupun ketika musim salji.

 *********


Naomi dan Erika dibawah rimbunan pohon sakura berhampiran pintu utama Heian Shrine di Kyoto. Setiap kali saya ternampak pepohon sakura sebegini mekar pada malam yang sejuk, cerita "Jiu Roku Zakura" akan berlegar-legar didalam kotak pemikiran saya.
Seram tetapi menyedihkan.






All images copyright © 2015 Langkawi Ink.Com. 
All rights reserved.

All photos and content on this site are exclusive property of Langkawi Ink.Com and are copyright with all rights reserved. Please email me and ask for permission before reposting any content found on this site. 
Thank you.