Cuti Sekolah : Sedikit Pesanan & Tips Untuk Bercuti Ke Pulau Langkawi.

Yes !! 

Cuti sekolah akan mucul kembali pada minggu hadapan dan sudah tentulah ramai yang ingin berkunjung ke Pulau Langkawi bersama rakan-rakan dan juga keluarga tersayang.Tidak dapat dinafikan yang Pulau Langkawi kini selalu dipenuhi pengunjung terutama sekali kepada pelancong-pelancong yang ingin keluar dari hiruk-pikuk bandar sambil mencari ketenangan di sebuah pulau. Sebagai seorang yang sudah lama menetap disini, saya berikan beberapa tips dan pesanan semoga ianya dapat membantu dalam kelancaran trip anda untuk ke Pulau Langkawi. 

Insya Allah !

 


Untuk permulaan, saya syorkan dan rekomen seperti berikut:

- Sekiranya anda tidak tahan ataupun alah kepada mabuk laut, saya syorkan untuk anda supaya mendapatkan tiket feri untuk ke Pulau Langkawi melalui laluan Kuala Perlis dan bukannya Kuala Kedah. Ini kerana laluan laut melalui Kuala Perlis hanya mengambil masa lebih kurang 55 minit saja untuk sampai dan 2 jam sekiranya anda datang melalui Kuala Kedah.

- Saya juga syorkan supaya anda membeli ataupun menempah tiket feri untuk trip pulang/keluar sebaik saja anda sampai ke Pulau Langkawi kerana ianya adalah satu tindakan yang bijak. Jangan mengambil mudah tentang perkara ini. Terdapat banyak isu pelancong-pelancong yang terkandas dan tidak dapat keluar dari Pulau Langkawi kerana kehabisan tiket feri Ada juga yang terpaksa tidur di jeti kerana hotel-hotel telah penuh ketika musim cuti sekolah. By the way, sebelum anda give up, anda juga boleh mencuba membuat panggilan ke syarikat Feri  RORO yang membawa kenderaan keluar-masuk ke Langkawi kerana mereka juga menyediakan kemudahan untuk penumpang sahaja. Ini nombor syarikat tersebut 04-966 9881.
- Sekiranya anda membeli tiket feri pada masa tertentu, pastikan anda keluar 2-3 jam lebih awal dari hotel untuk ke jeti. Kesesakkan lalu lintas selalu terjadi di jalan-jalan berhampiran bandar Kuah menghala ke jeti terutamanya ketika musim cuti sekolah ataupun hari cuti umum.Takut nanti terlepas feri!

- Saya juga ingin recommend kepada anda untuk mencuba beronok (sejenis mentimun laut) yang selalunya dibuat kerabu. Hanya restoran tertentu sahaja mempunyai menu istimewa ini, mungkin kerana beronok yang agak sukar untuk diperolehi. Selalunya Restoran Siti Fatimah yang terletak berhampiran Kampung Tok Senik Resort dan Restoran HBL di Bayas ada menjual menu ini. Cuba lah.



- Aktiviti yang paling penting dan jangan sesekali anda lupa ialah mencuba laksa tempatan terutama sekali di restoran Laksa Kaw (Teratak LAKSA KAW Rossabina) yang terletak berhadapan Sekolah Rendah Padang Mat Sirat (berhampiran kawasan Beras Terbakar). Perrkkkhhh...Hidangan laksanya cukup sedap dan agak popular pada ketika ini. Jom !





- Highly recommended - anda harus membeli produk-produk gamat seperti sabun, minyak dan sebagainya sebagai cenderahati.

- Menikmati pemandangan yang cukup tenang lagi memukau di kawasan sawah padi yang berlatar belakangkan bukit dan juga gunung-ganang. Sekiranya anda berada di Pulau Langkawi, anda boleh cuba menyusuri jalan sekitar Ulu Melaka menuju ke Makam Mahsuri. Pemandangan di sini is worth to die for!

- Mengunjungi pasar-pasar malam Pulau Langkawi. Anda juga boleh membeli atau mencuba ulam "lat tut"di sini. Jangan takut,"lat tut" ini hanyalah sejenis rumpai laut yang begitu banyak terdapat di Pulau Langkawi. Selalui disediakan sebagai ulam!




- Fotografi di sekitar Dataran Lang. Harus dilawati kerana ianya adalah ikon Pulau Langkawi. Saya masih sanggup abaikan segala lawatan ke Langkawi Wildlife Park, Crocodile  farm ataupun Under Water World Langkawi semata-mata untuk ke sini. Mungkin itu hanya pandangan saya, belum tentu anda.




- Menjelajah hutan bakau di kawasan Kilim Geopark. Banyak hotel-hotel dan agensi-agansi pelancungan yang menawarkan pakej ini. Berhati-hati dengan harga yang ditawarkan.




- Saya juga syorkan untuk anda melawat ke Tasik Dayang Bunting. Lawatan ke sini banyak ditawarkan di dalam pakej Island Hopping. Anda boleh berurusan dengan banyak agensi-agensi pelancongan ataupun jurumudi bot di sekitar pantai Teluk Dalam (terletak berhampiran Resort World Langkawi) ataupun jeti Kuah jika berminat untuk ke sana. Baru-baru ini riuh rendah tentang kisah pelancong dari Singapura yang mendedahkan kononnya beliau kini telah hamil selepas berkahwin berbelas tahun tanpa anak. Beliau percaya ianya berkaitan dengan air Tasik Dayang Bunting yang diminumnya tempoh hari. Wallahualam!




- Telaga Tujuh. Air terjun tujuh lapisan ini memang cukup popular namun banyak faktor keselamatan yang harus diambil kira sebelum anda datang ke sini.Terdapat beberapa kejadian di mana pelancung-pelancung tergelincir jatuh terutama sekali sewaktu musim hujan.Oh ya..Orang tua-tua kata, sekiranya anda terbau wangi sewaktu disini, janganlah ditegur.Besar kemungkinan puteri tujuh beradik sedang bermandi-manda. Entah betul atau mitos tapi tolong beringat ya!




- Langkawi Cable Car. Satu lagi ikon Pulau Langkawi. Sekirannya anda datang ke Langkawi pada musim cuti sekolah, pastikan anda datang awal ke sini kalau tidak mahu beratur panjang. Terdapat juga tiket-tiket ekspress (tidak perlu beratur) yang dijual tetapi harganya agak mahal.

- Pantai Pasir Tengkorak dan Pantai Teluk Yu. Aman dan damai.Tiada hiruk-pikuk manusia yang menjerit-menjerit bermain jet ski, ATV ataupun banana boat. Kawasan disini masih sunyi walaupun pada musim cuti sekolah. Pantainya juga agak bersih dan pasirnya juga putih jika hendak dibandingkan dengan kawasan tumpuan seperti Pantai Chenang. 





 - Melawat Makam Mahsuri. Bagi saya ianya tidak masuk akal sekiranya anda datang ke Pulau Langkawi tetapi tidak melawati Makam Mahsuri. Sudah terdapat banyak usaha-usaha menaik taraf telah dijalankan disini dan sebab itulah ianya sering dilawati pengunjung. Terdapat acara pementasan drama Mahsuri selalu diadakan disini terutama sekali pada hari Ahad. 




- Berkunjung ke Tanjung Rhu. Pertama kali saya sampai ke sini adalah pada tahun 1984 dan ianya tetap memukau sehingga hari ini. Pemandang sewaktu senja di sini cukup cantik !


- Drop by ke Pantai Pasir Hitam. Sama ada pasirnya bertukar menjadi hitam atas kerana sumpahan ataupun reaksi tindak balas bahan-bahan kimia, saya biarkan anda sendiri untuk menilainya. Pantai yang terletak berhampiran Teluk Ewa ini selalu dikunjungi kaki-kaki photography yang sukakan pemandangan Pulau Taratao (Thailand) yang boleh dilihat di sini.




By the way, saya juga ingin menasihati anda tentang perkara-perkara berikut................




- JANGAN menjejakkan kaki ke restoran-restoran yang di penuhi akuarium berisikan udang kara, ikan kerapu ataupun jenahak. Sebenarnya, tidak salah untuk masuk ke restoran-restoran tersebut sekiranya anda mampu dan berbajet besar. Tetapi anda harus ingat tentang harga jualannya.Fahami betul-betul tentang harga yang dipamerkan .Ketahuilah yang harga-harga tersebut adalah berdasarkan harga untuk 100 gram dan bukannya harga untuk sekilogram. Tidak perlu anda aniaya restoran tersebut dikemudian hari dengan membuat posting ke dalam media sosial sambil memaki hamun hanya kerana anda salah faham ataupun tidak puas hati pada harga yang anda terpaksa bayar. 

- JANGAN sesekali mencari dan membayar kereta/van/motosikal sewa di Pulau Langkawi melalui ejen-ejen di jeti Kuala Kedah ataupun Kuala Perlis. Saya rasa ramai yang ikhlas untuk berurus niaga tetapi ramai juga yang menipu. Saya nasihatkan agar anda berurus sendiri dengan wakil-wakil kereta sewa sewaktu sampai di jeti Pulau Langkawi. Banyak sudah pelancong yang ditipu sebelum ini. Berhati-hati juga dengan segala pakej penginapan chalet-chalet yang ditawarkan.     

- JANGAN terlalu kerap tawar menawar harga. Bukannya tidak boleh malah ianya bagus tetapi biarlah berpada dan janganlah terlalu melampau. Kasihanilah kepada penduduk-penduduk tempatan yang menjalani perniagaan harian secara kecil-kecilan.

- JANGAN merungut mengenai kelajuan wifi dan internet.You'll find a better connection with benda-benda lain di Pulau Langkawi. Anda kena faham yang anda kini berada di pulau dan bukannya di tanah besar.  

-JANGAN memberi makanan kepada kera-kera yang banyak terdapat di bahu jalan terutama sekali berhampiran kawasan Pantai Kok. Habis kotor kawasan persekitaran kerana plastik-plastik sampah yang tidak dikutip semula.  

- JANGAN memberi makan kepada burung-burung helang ketika anda mengikuti aktiviti eagle feeding. Apalah sangat zat-zat ataupun khasiat yang terdapat dalam perut-perut ayam yang ditabur tu? Tahukan anda yang aktiviti ini juga boleh menyebabkan burung-burung helang tersebut akan terlalu bergantung harap kepada makanan yang disediakan manusia dan hilanglah deria naturalnya ataupun minat untuk memburu.

- Sila pastikan anda memakai topi keledar. Banyak motosikal-motosikal berkuasa besar dan juga skuter-skuter kecil yang disewakan secara harian di Pulau Langkawi. Pakailah topi keledar yang disediakan dan janganlah terpengaruh sangat dengan filem-filem hindustan yang heronya langsung tidak pernah memakai topi keledar sewaktu dia membawa heroinnya naik motosikal mengelilingi pulau.Banyak sangat kejadian maut yang terjadi depan mata saya. Jangan kita datang ke sini dalam keadaan yang cukup sempurna namun dibawa keluar dalam keranda.

- Sedikit perhatian harus diberikan kepada anak-anak anda sekiranya membenarkan mereka bermandi-manda di kawasan Pantai Tengah dan juga Tanjung Rhu terutama sekali sewaktu air laut sedang pasang dan beralun besar. Sila ambil perhatian tentang keadaan dasar laut di kawasan tersebut yang agak dalam dan juga jelmaan ombak-ombak besar yang datang di luar jangkaan.

- Akhir sekali, jangan sesekali meninggalkan Pulau Langkawi sebelum anda menikmati hidangan laksa di Pulau Langkawi. Spot yang terbaik sekali untuk hidangan ini adalah gerai LAKSA KAW di pekan Mat Sirat ( Berhadapan Sekolah Rendah Padang Mat Sirat ). Jangan terkejut walaupun gerai ini agak kecil tetapi selalu dikunjungi oleh selebriti-selebriti tanah air ! Terdapat juga hidangan lain selain laksa disini. Cuba lah !
  
Enjoy !!!!!

All images copyright © 2016 Langkawi Ink.Com.

All photos and content on this site are exclusive property of Langkawi Ink.Com and are copyright with all rights reserved. Please email me and ask for permission before reposting any content found on this site. Thank you.