Saturday, January 16, 2016

Kuala Kedah : 18 Tahun Berlalu Namun Geloranya Masih Terasa.




Pejam celik-pejam celik, hampir 18 tahun saya telah keluar meninggalkan Kuala Kedah.
Tidak banyak yang berubah tentang pekan kecil ini. Puluhan bot-bot nelayannya masih lagi keluar bersimpang siur membelah arus lautan pada lewat petang. Ada yang kecil dan ada yang besar. Ada yang baru hendak keluar mencari rezeki dan ada juga yang baru balik mencari jalan pulang. 


Gelora di penghujung muaranya juga masih lagi keruh serta berkeladak. Walaupun sebegitu, jangan dipandang rendah kerana buminya masih dihuni ribuan ikan pari, duri, gelama, belodok serta semilang. Begitu juga dengan angin malamnya, ianya masih tetap sama, panas serta berbahang sambil membawa lalu bau anyir ikan yang dipunggah di tambatan nelayan.


Banyak cerita dan kenangan lama yang masih segar serta subur disini...
Banyak juga harapan dan impian yang tertinggal dan baranya masih belum terpadam sehingga hari ini. Harapan tentang hari esok yang tidak pasti...Impian tentang hari esok yang kononnya rezeki akan datang bergundi-gundi...


Saya tidak pasti bila saya akan kembali semula lagi. Tetapi cukuplah untuk sekali ini.
Moga-moga saya masih berpeluang untuk datang semula ke sini, membawa isteri dan anak anak menjamu selera lewat petang dihujung pelabuhan sambil memerhati matahari senja yang tergantung menjunam di garis horizon malam.


By the way, seronok juga apabila berpeluang dapat membawa anak-anak berjalan balik ke kampung. Punyalah "berselfie", hanya tuhan saja yang tahu !













 All images copyright © 2016 Langkawi Ink.Com. 
All rights reserved. All photos and content on this site are exclusive property of Langkawi Ink.Com and are copyright with all rights reserved. Please email me and ask for permission before reposting any content found on this site. 
Thank you.