Wednesday 11 December 2013

47 Ronin: Entah Apa Punya Cerita !??

( Tiada Exif. Gambar diambil dengan Iphone 5 berhampiran Nishiki,Kyoto)  


Kalau anda memang seorang peminat sejarah peperangan medieval ataupun filem-filem klasik Jepun dan kemudiannya anda  menonton pula pra-tayangan filem 47 Ronin lakonan Keanu Reeves, anda pasti sakit hati mungkin juga sakit otak dan muntah darah! 

Mahunya tidak, segala jalan cerita sebenar tentang 47 ronin tersebut semua telah ditokok  tambah. Bermula daripada protagonist  Kai (lakonan Keanu Reeves) yang berdarah kacukan sehinggalah kepada pertembungan mereka dengan segala bentuk raksasa mistik dan shape shifting witchcraft - sejarah sebenar 47 Ronin habis "dilapah"dan terpesong jauh jauh dari cerita sebenar. Namun begitu, saya masih mahu memberikan rating lima bintang kepada Carl Rinsch, pengarah filem tersebut untuk faktor entertainment  tetapi kosong untuk nilai sejarah !  Bagi saya, ianya adalah filem yang paling teruk antara semua sequal 47 Ronin. 


Okay. Cukup sudah leteran saya tentang filem 47 Ronin tersebut. 

*******************

Kepada anda yang belum pernah mendengar cerita sebenar 47 Ronin ini, ianya berlaku pada awal bulan Mac tahun 1701 berpunca daripada pergaduhan antara Asano dan Kira Hozukenosuke. Asano Takuminokami yang pada ketika itu berada di istana Edo telah dicaci teruk oleh Kira Hozukenosuke. Selepas berkali-kali dicerca, Asano mula berang dan hilang sabar lalu mencabut pedang beliau serta menyerang Kira. Didalam serangan tersebut, Asano gagal membunuh tetapi beliau telah mencederakan Kira. 

Mengikut sejarah, pada hari yang sama juga beliau telah dijatuhkan hukuman bunuh (Seppuku - acara ritual bunuh diri) oleh Shogun Tokugawa Tsunayoshi. 

Alasan yang diberikan oleh pihak Shogun untuk membenarkan hukuman tersebut adalah - marah serta bertindak mengikut perasaan adalah salah mengikut kod peraturan samurai dan melakukan serangan didalam istana juga adalah satu perkara yang tidak dapat dimaafkan. Pihak Shogun juga kemudiannya bertindak merampas segala harta milik keluarga Asano serta melucutkan kesemua jawatan pengikut-pengikut Asano dan mereka dibuang negeri.     
  


Filem 47 Ronin terbitan tahun 2001. Mempunyai jalan cerita yang menarik 
dan pelakon utama yang handsome - Takuya Kimura  :)


Tindakan tersebut ternyata menyebabkan pengikut-pengikut Asano berasa tidak berpuas hati malah mereka lebih marah selepas mengetahui yang Kira langsung tidak menerima sebarang hukuman walaupun beliau sebenarnya adalah dalang didalam pergaduhan tersebut. Oishi Kuranosuke, salah seorang daripada pengikut setia Asano berasa sangat terhina akibat keputusan tersebut dan bertindak mengumpul semula kesemua pengikut-pengikut Asano yang lain dan merancang untuk membalas dendam. Niat mereka hanya satu - Kira mesti dibunuh akibat perbuatannya !

Selepas lebih satu setengah tahun merancang mereka akhirnya bertemu semula pada  malam 14 Disember tahun 1702. Kumpulan 47  samurai yang sekarang berada dibawah pimpinan Oisi Kuranosuke ini mula berkumpul lalu bergerak menuju ke istana milik Kira.
Mereka meredah malam yang sangat gelap dan bersalji tebal itu tanpa disedari sesiapa termasuklah pengawal-pengawal istana Kira.   
   
Setelah sampai di istana Kira, kumpulan tersebut berpecah kepada dua kumpulan kecil lalu menyerbu masuk ke istana tersebut. Pengawal-pengawal Kira yang sedang bertugas pada malam tersebut terpinga-pinga dengan serangan tersebut tidak dapat berbuat apa-apa malah ramai antara mereka dibunuh.



Terbaik antara semua. Filem terbitan tahun 1958 ini betul-betul mengikut jalan cerita sebenar sejarah 47 ronin. 


Kira yang menyedari akan serangan tersebut mula menjadi cemas dan hanya mampu bersembunyi di dalam istana. Beliau akhirnya berjaya ditangkap selepas didapati bersembunyi di bilik bawah tanah lalu diheret keluar untuk menerima hukuman. 
Oishi Kuranosuke yang bertindak sebagai ketua kumpulan tersebut memberitahu yang tujuan mereka datang adalah untuk menuntut bela atas kematian tuan mereka - Asano Takuminokami. Kira yang masih bersikap sombong dan enggan meminta maaf mula dibelasah teruk. Akhirnya, kepala Kira Hozukenosuke dipenggal oleh kumpulan tersebut lalu digantung pada sebatang tombak dan dibawa mengelilingi kawasan bandar sebagai trofi tanda kemenangan. 

 Mereka kemudiannya bergerak menuju ke kubur Asano Takuminokami di Sengakuji di Edo ( Tokyo)  sambil mengusung kepala Kira dan disaksikan oleh ribuan penduduk sekeliling. Kepala Kira yang dipenggal tadi akhirnya dibasuh berdekatan telaga di Sengakuji lalu dipersembahkan di hadapan kubur Asano menandakan mereka telah berjaya menuntut bela atas kematian Asano.
    
Kesemua 47 samurai tersebut akhirnya diarahkan untuk "membunuh diri" kerana tindakkan mereka namun kisah mereka kini menjadi sangat popular dan diabadikan 
didalam banyak filem dan pertunjukkan kabuki di mana kesetiaan dan hormat adalah perkara yang sangat disanjungi oleh golongan samurai.



All images copyright © 2013 Langkawi Ink.Com. All rights reserved.



Interested parties are welcomed to reproduce or quote materials published in this blog with the condition  that they are credited to http://hasnulyakin.blogspot.com/ to avoid misunderstanding. 
Thank you.