Monday, 30 July 2012

Cerita Pohon Gharqad, Zeus Dan Anti Yahudi.


(Imej dari google)

Penuh halaman facebook saya dibanjiri dengan komen-komen tentang isu upacara pembukaan sukan Olimpik London 2012 tempoh hari. Selain daripada teruja dengan montage Daniel Craig, si James Bond kacak yang mengiringi Ratu Elizabeth, rata-rata antara kita banyak yang membincangkan tentang isu pokok Gharqad yang memayungi seluruh atlet pada malam tersebut dan kaitannya dengan Yahudi.
Ramai juga yang berfikir sukan Olimpik kali ini adalah agenda Zionis dan berunsur freemason. Maka ramailah antara kita mula membangkitkan isu kebangkitan dajjal dan bercambahlah ribuan halaman blog bak cendawan tumbuh selepas hujan membincangkan isu yang sama. Untuk makluman, saya tahu tentang cerita pohon Gharqad ini malah Nabi Muhamad saw sendiri pernah bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Tirmidhi bermaksud:

" Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah berlaku peperangan di antara orang Islam dan Yahudi, maka pada waktu itu (tentera) yahudi akan dibunuh oleh tentera Islam, sehingga apabila orang yahudi berselindung disebalik batu dan pokok, lalu batu dan pokok itu akan bersuara dengan katanya; Wahai muslim,wahai hamba Allah, dibelakangku ini ada Yahudi,marilah bunuhnya; kecuali pokok Gharqad yang tidak bersuara, keran sesunggihnya ia merupakan pokok Yahudi "

Untuk pengetahuan, saya percaya pada hadis dan apa yang diriwayatkan. Saya hormat segala pandangan anda dan saya juga amat berterima kasih kerana kita dapat membincangkan tentang isu pokok Gharqad ini. Saya percaya ada diantara kita yang belum pernah mendengar tentang cerita pokok Gharqad dan ianya tentulah merupakan satu informasi yang cukup baik buat semua . Tetapi percayalah yang saya melihat sukan Olimpik ini lebih daripada masalah isu Arab-Israel ataupun anti-semitic. Saya letak sebelah kedua-dua isu tersebut kerana ianya harus dibincangkan pada medium yang betul.
Pada saya, sukan Olimpik adalah acara sukan teragung yang menghimpunkan para-para atlet sukan dari seluruh pelusuk dunia. Ianya melambangkan semangat perpaduan, setiakawan dan keamanan untuk warga dunia. Kalau kita mahu mempertikaikan hampir segala isu Olimpik - dari maskot bermata satu seumpama dajjal hinggalah isu pokok Gharqad, saya merasakan adalah lebih baik kita langsung tidak menyertai temasya sukan Olimpik itu sendiri kerana sejarahnya. Tahukan kita yang sukan Olimpik itu sebenarnya dicipta oleh orang-orang Greek sebagai penghormatan agama kepada dewa Zeus yang mana patungnya masih terdapat dibandar Olympia ? Apa pula hukumnya sekiranya kita bersekongkol menyambut pesta puak pagan tersebut iaitu Olimpik ? 

Tepuk dada tanya selera. 


*****