Thursday 21 January 2016

Jurnal Shimonoseki : Di Kunjungi Jembalang Heike Pada Waktu Malam

Setelah puas bercakap tentang ikan fugu, kini saya uraikan sedikit tentang cerita-cerita mistik dan sejarah bandar Shimonoseki. Walaupun sebahagian daripada cerita-cerita saya ini agak sukar untuk diterima akal, saya biarkan pembaca sendiri untuk menilainya. Apa yang pasti, cerita-cerita saya di Shimonoseki ini banyak yang berunsurkan folklore, sejarah dan selebihnya adalah fakta tetapi bukannya auta.

Kepada anda yang pernah datang ke Shimonoseki, anda tentu pernah mendengar tentang cerita tentang jelmaan ratusan bebola api yang tiba-tiba muncul dan terapung-apung pada langit malam di persisiran laut Shimonoseki. Ramai penduduk tempatan percaya ianya adalah jelmaan roh-roh pahlawan Taira (ataupun Heike clan) yang terbunuh semasa Dan-no-ura no tatakai ataupun peperangan Dan-no-ura. Mengikut cakap-cakap mereka lagi, roh-roh api ini kononnya muncul sebagai peringatan yang mereka sebenarnya masih wujud dan menguasai perairan lautan tersebut. 


Naomi bersama monumen ikan fugu berhampiran Minosusogawa Park.



Namun begitu, misteri bebola api ini akhirnya telah terjawab pada tahun lepas selepas banyak blog-blog tempatan serta laporan suratkhabar Jepun telah mendedahkan yang ia sebenarnya bukanlah roh-roh hantu sebaliknya hanyalah fenomena "pillar light". 
 
Pillar light ini adalah kejadian alam yang terjadi akibat pantulan cahaya daripada lampu-lampu bot nelayan di permukaan lautan yang telah diserap naik lalu terpantul kepada serpihan kristal-kristal ais kecil yang berterbangan dilangit malam. Suasana sebegini selalunya terjadi pada malam yang suhunya merudum jatuh ke paras beku dan di Jepun ianya ini dikenali sebagai "isaribi kouchu" ataupun "pantulan tiang lampu ikan". Anda boleh melihat gambar-gambar kejadian pelik tersebut di tulisan saya yang terdahulu di sini. 
 




Akama Shrine ini terletak betul-betul di tepi jalan dan bertentangan dengan Minosusogawa Park. Ianya dibina sempena memperingati Emperor Antoku yang terbunuh semasa peperangan Dan-no-ura. Ianya cukup mudah untuk dicari malah tiada alasan untuk anda tidak datang ke sini kerana tanah perkuburan pahlawan Taira dan pondok kecil yang menempatkan patung Hoichi juga berada disini. 

Hoichi? Siapa tu? Nanti saya ceritakan......





Ini pula ialah Nanamori-zuka ataupun tanah perkuburan pahlawan Taira. Saya rasa ianya sudah berusia hampir seribu tahun. Ada sedikit perasaan gementar dan seram sejuk sewaktu saya berjalan bersendirian ke sini. Mungkin beginilah agaknya tempat si Hoichi selalu dibawa datang oleh jembalang Heike untuk bermain biwa. Apa yang pasti, terdapat kisah yang mengatakan Hoichi selalu dijemput keluar pada waktu malam untuk menghiburkan sekumpulan pahlawan-pahlawan Taira walaupun sebenarnya beliau hanyalah dibawa ke kawasan tanah perkuburan yang sunyi.
Ishhhh...Seram juga ni.
 


 Heikegani ataupun ketam Heike (Heike Crab).
Cuba perhatikan betul-betul bentuk perut ketam tersebut. Terdapat seperti jelmaan wajah muka pahlawan Taira yang bengis dan marah. Ada yang berpendapat ketam-ketam ini adalah jelmaan pahlawan-pahlawan Taira yang mati sewaktu pertempuran Dan-no-ura yang mana maharaja mereka, Antoku (Emperor Jepun yang ke-81) yang pada waktu tersebut baru berusia 6 tahun juga turut terbunuh bersama neneknya Nii no Ama.


Hoichi, si buta yang serba miskin dan hanya mampu tinggal di kuil Amidaji atas belas ehsan pendita buddha.Walaupun buta dan miskin, Hoichi dikatakan memiliki kebolehan yang cukup hebat serta luar biasa. Mengikut cerita lama, petikan Biwa (sejenis alatan muzik seperti gitar) yang dimainkan oleh Hoichi boleh menyebabkan roh-roh orang yang telah mati bersedih lalu menangis apabila mendengarnya. Beberapa perenggan dalam buku Kwaidan: Stories and Studies of Strange Things ada menjelaskan tentang peristiwa di mana Hoichi pernah beberapa kali diganggu jembalang Heike malah kerap dibawa keluar dari kuil tempat tinggalnya semata-mata untuk bermain biwa.



Untuk mengelakkan gangguan jembalang yang selalu datang menjemput Hoichi keluar pada waktu malam, sami-sami kuil Amidaji telah menyediakan jampi mentera yang khabarnya cukup mujarab untuk Hoichi. Habis seluruh tubuh Hoichi di tulis dengan jampi mentera ataupun buddhist sutra tersebut - bermula dari hari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki. 

Namun begitu, tanpa disedari oleh para sami-sami tersebut, mereka sebenarnya telah melakukan kesilapan besar apabila mereka terlupa untuk menulis sutra tersebut pada bahagian telinga Hoichi.


Apabila tengah malam datang menjelma, jembalang Heike tersebut datang semula sambil menyeru-nyeru nama Hoichi untuk keluar namun kali ini Hoichi bertekad untuk mendiamkan diri dalam rumah. Setelah tiada jawapan, jembalang tersebut perlahan-lahan berjalan masuk ke dalam rumah untuk mencari Hoichi namun tiada sesiapa pun yang jembalang tersebut nampak. Sebenarnya, tulisan-tulisan buddhist sutra tersebut telah menyebabkan Hoichi kelihatan invicible ataupun hilang dari pandangan. Apa yang si jembalang tersebut nampak kemudiannya hanyalah sepasang telinga (kerana bahagian tersebut tidak ditulis dengan mentera) lalu dipotongnya telinga Hoichi dengan pedang dan dibawa pulang.
 

Pada malam seterusnya tiada lagi gangguan-gangguan dari jembalang tersebut. Apa yang tinggal kini hanyalah Hoichi yang menanggung kesakitan sambil menjalani rawatan akibat telinganya yang telah putus dipotong oleh jembalang Heike. Sebab itulah sehingga hari ini kisah ini menjadi cukup terkenal dan ianya dipanggil sebagai "Mimi Nashi Hoichi" ataupun Hoichi yang tidak bertelinga.



Minamoto No Yoshitsune bukanlah calang-calang pahlawan.
Beliau dikatakan pernah berguru dan belajar bermain pedang dengan jembalang Tengu berhidung panjang yang bernama Sojobo di pergunungan Kurama yang terletak di Kyoto semasa kecilnya. Beliau juga merupakan satu-satunya pahlawan yang berjaya menumpaskan Musashibo Benkei, satu lagi pahlawan hebat Jepun sewaktu mereka berdua bertembung berhampiran jambatan Gojo di Kyoto.

Benkei yang khabarnya berlagak seperti samseng jalanan dikatakan selalu mengajak sesiapa saja yang cuba menyeberangi jambatan Gojo untuk berlawan pedang. Dikatakan Benkei sudah mempunyai 999 bilah pedang setelah merampas setiap pedang lawannya apabila beliau memenangi setiap pergaduhan.



Dalam usaha beliau untuk mendapatkan pedang yang ke 1000, beliau tumbang di kaki Yoshitsune. Akibat daripada kekalahan tersebut, Benkei dan Minamoto No Yoshitsune menjadi sahabat baik sehinggalah Benkei terbunuh sewaktu mempertahankan Yoshitsune di medan peperangan Sungai Koromo (Kini wilayah Tohuku). Malah Yoshitsune bersama isteri serta anak gadisnya juga telah membunuh diri sewaktu peristiwa tersebut.  


Ini pula ialah monumen jembalang Tengu yang terletak di Stesen keretapi Kurama, Kyoto (Yang berwarna merah dan bukannya berbaju hitam).Walaupun telah beberapa kali saya ke sana termasuklah pernah merentasi hutan tebal Kurama hingga ke Kibune-jinja, saya belum pernah sekalipun lagi saya berjumpa ataupun mendengar cerita-cerita terbaru tentang penampakkan Sojobo di kawasan pergunungan tersebut. 


Ini ialah tugu memperingati Taira No Tomomori. Walaupun kehebatannya setaraf dengan Minamoto no Yoshitsune tetapi beliau menjalani kehidupan yang cukup berbeza dengan seterunya tersebut. Tomomori yang sebelum ini hampir-hampir memenangi kesemua pertempuran dengan Yoshitsune nyata mati dengan penuh keaiban.



Setelah berjaya memenangi tiga peperangan terdahulu iaitu peperangan Uji,Yahagigawa dan Mizushima, Tomomori telah di kepong dan di asak hebat oleh armada tentera laut Yoshitsune di Selat Kanmon sewaktu peperangan maritim Dan-no-ura. Ribuan tentera-tentera Taira terbunuh akibat serangan tersebut. Menyedari yang beliau telah gagal dan telah kalah teruk, Taira no Tomomori mengambil keputusan untuk membunuh diri dengan mengikat kaki beliau pada sauh kapalnya lalu melompat terjun ke dasar lautan. Nampak tak bagaimana beliau menanggung sauh kapal pada gambar diatas sebelum dilontar masuk ke dalam lautan?  
 
 
 
 
 All images copyright © 2016 Langkawi Ink.Com. 
 All rights reserved. All photos and content on this site are exclusive property of Langkawi Ink.Com and are copyright with all rights reserved. Please email me and ask for permission before reposting any content found on this site. 
Thank you.