Sunday, 23 June 2013

Rashomon Gate : Misi November 2013 !


Saya pernah menyusuri sungai Kibune dan menjelajah ke pergunungan Kurama di Kyoto dalam misi mencari tentang kebenaran kisah Raja Tengu, Sojobo (Hantu berhidung panjang) yang dikatakan pernah mengajar ilmu pedang kepada Minamoto no Yoshitsune. Saya juga pernah menjelajah jauh ke kawasan pendalaman Fushimi di Kyoto menjejaki cerita hantu air Kappa yang dikatakan bertanggung-jawab merejam dan membunuh ramai kanak-kanak kecil yang bermain di kawasan tebing sungai. Pendek kata, saya cukup berminat tentang cerita mitos dan lagenda Jepun hinggakan saya pernah tidak tidur berhari-hari menjelajah ke seluruh pelusuk Jepun menjejaki cerita-cerita tersebut.
 


Naomi, Erika & Sojobo !
Gunung Kurama, Kyoto 



Saya & Kappa

Namun pengalaman yang ngeri yang masih saya ingat dan tidak dapat saya lupakan sehingga sekarang adalah sewaktu saya merentasi “Gudang Berhantu” di Toei Uzumasa Egamura !

Apa tidaknya, saya sendiri melihat perempuan berambut panjang serta bermata merah melambai-lambai kepada saya sewaktu saya berada didalam gudang tersebut. Punyalah kuat saya menjerit hanya Tuhan saja yang tahu. Apa-apa pun, “hantu”  tersebut sebenarnya adalah pelakon-pelakon baru yang sedang berlatih menjadi hantu sambil menakut-nakutkan pelancung yang datang melawat ke studio perfileman yang terletak di pinggir bandar Kyoto! Kering darah juga lah!





Tugu Gerbang Rashomon !
(Foto: Kredit kepada Japan Navigator blog)

Langkah saya selepas ini adalah untuk kembali semula ke Kyoto pada bulan November untuk menjejaki cerita tentang pintu gerbang Rashomon yang kononnya pernah dihuni oleh si iblis Ibaraki - doji ! Walaupun pintu gerbang Rashomon ini sudah tidak lagi kelihatan dan kini tinggal hanyalah  tugu batu sebagai peringatan, tetapi masih terdapat juga cerita-cerita yang mendakwa bahawa makhluk Ibaraki-doji ini masih lagi menjelma dan sering kelihatan di kawasan bekas pintu gerbang Rashomon tersebut ! 



Watanabe No Tsuna Bertempur Dengan Ibaraki-doji.

(Foto: Kredit kepada Wikipedia)


Lagenda samurai pernah menceritakan tentang kisah Samurai bernama Watanabe No Tsuna yang pernah bertempur dengan Ibraki-doji. Diceritakan yang Kabuto (topi perisai samurai) yang dipakai Tsuna telah direntap dari belakang sewaktu beliau berjalan merentasi jambatan Ichijo-Modoribashi. Terkejut dengan situasi tersebut, Tsuna mencabut keluar pedang beliau lalu menyerang Ibaraki-doji. Semasa pertempuran tersebut, Tsuna telah berjaya mencantas lengan Ibaraki-doji lalu dibawa pulang. Lagenda juga mengatakan yang kononnya Ibaraki-doji telah berjaya mendapatkan semula lengan beliau setelah memperdaya Tsuna dengan menjelmakan dirinya menjadi salah seorang anggota keluarga Tsuna.Entah betul atau tidak cerita tersebut - wallahualam. 


Insya Allah. Saya akan menghuraikan lagi cerita tentang pintu gerbang Rashomon ini apabila saya berada disana kelak.






All images copyright © 2013 Langkawi Ink.Com. All rights reserved.



Interested parties are welcomed to reproduce or quote materials published in this blog with the condition  that they are credited to http://hasnulyakin.blogspot.com/ to avoid
misunderstanding. Thank you.