Wednesday, 1 February 2012

Kisah Lama Dan Memori Buah Melaka.........

Saya masih ingat pada satu petang beberapa hari sebelum Aidilfitri puluhan tahun yang lalu ketika arwah emak memecahkan tabung simpanan beliau.Selepas dikira,arwah sebenarnya berjaya menyimpan wang sebanyak lebih RM600 setelah bertungkus lumus menjual buah melaka di sepanjang bulan Ramadhan. Seingat saya, RM600 pada waktu tersebut adalah sama nilai dengan RM3000 pada zaman sekarang memandangkan harga barangan yang cukup murah pada ketika itu.

Sampai ke hari ini, saya masih belum dapat melupakan raut wajah kegembiraan yang terpancar dari wajah arwah emak pada petang tersebut. Arwah memang tidak menjangkakan yang kuih buah melaka yang dijual pada harga 20 sen sebungkus itu (sekarang dah RM1.00) mendapat pulangan yang sebegitu banyak. Arwah akhirnya menggunakan separuh daripada duit simpanan tersebut untuk membeli baju raya untuk kami sekeluarga dan selebihnya sebagai persiapan rumah memandangkan Hari Raya yang bakal menjelang tiba.

Kini, setelah hampir 18 tahun arwah emak pergi meninggalkan saya, perasaan teringin untuk membuat kuih buah melaka datang semula. Walaupun saya tidak pernah mencubanya selepas ketiadaan emak, saya masih berkeyakinan untuk menyediakan resipi tersebut kerana ingatan saya yang masih cukup kuat bagaimana lemah-lembutnya tangan arwah emak menguli tepung bersama gula melaka.

Terus terang saya katakan yang penyediaan untuk membuat kuih buah melaka pada hari ini agak emosional walaupun pada awalnya hanya bertujuan untuk hiburan dan mengajar anak-anak untuk rajin ke dapur !!



Bahan utama yang harus ada mestilah tepung pulut.Tepung gandum atau tepung ubi tidak boleh digunakan :)


Jika boleh, dapatkan juga pewarna makanan yang dibenarkan. Saya memilih warna hijau kerana sebelum ini saya tidak pernah melihat buah melaka yang berwarna lain selain hijau. Tetapi, sekarang ni sudah terdapat buah melaka yang berwarna kuning !  


  Gula melaka digunakan sebagai isi kepada buah melaka ( Orang utara panggil gula "Gheqeq" ). Ada sesetengah orang berminat menggunakan isi ubi kayu (?)


Ok ! Langkah pertama.Masukkan tepung pulut tadi bersama pewarna makanan. Campurkan sedikit air garam dan gaul.


Air garam yang dicampur bersama tepung tadi akan menyebabkan campuran tepung bertukar menjadi kehijauan.Teruskan menggaul adunan tersebut sehingga ianya sebati.


Inilah bentuk adunan tepung bersama air garam dan pewarna yang sudah siap.


Ambil adunan tersebut sebesar ibu jari dan gentelkan.Kemudian, masukkan ketulan gula melaka yang dipotong kecil  kedalamnya untuk dijadikan sebagai inti. 


Jerangkan air sehingga mendidih dan masukkan ketulan-ketulan buah melaka tadi ke dalam periuk.Buah melaka yang sudah masak akan timbul dan sejatkan ianya seketika.


Keluarkan buah-buah melaka yang sudah masak tadi dan gaulkan dengan kelapa parut. 


Buah melaka yang sudah siap. Ianya merupakan hidangan yang sesuai disajikan sewaktu minum petang..nyam..nyam ! 




Interested parties are welcomed to reproduce or quote materials published in this blog with the condition  that they are credited to http://hasnulyakin.blogspot.com/ to avoid misunderstanding.Thank you
 
 
 
All images copyright © 2012 Langkawi Ink.Com. All rights reserved